Tips ini dikongsi di dalam Group Parents Anak-anak ADHD.
Tujuh Aktiviti Ini Sesuai Untuk Keluarkan Tenaga Anak Anda Yang Hiperaktif
Sumber: Google
Anak hiperaktif perlu menyalurkan tenaganya dalam pelbagai bentuk aktiviti. Maka, berikut tujuh permainan dan aktiviti yang boleh bantu anak yang hiperaktif ‘sibuk’ dan kekal bermotivasi. Ia juga boleh mendidik anak untuk kawal diri.
1. Seni Mempertahankan Diri
Kebaikan silat, taekwondo, karate atau apa jua seni mempertahankan diri adalah anak boleh menyalurkan tenaga yang banyak itu dengan cara yang betul.
Selain itu, ia dapat juga membantu anak untuk menumpukan perhatian dan menenangkan minda kerana dapat bantu anak fokus, dan bina keyakinan diri.
2. Sukan Di Luar Rumah
Aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, bola tampar, baseball dan badminton merupakan antara aktiviti yang terbaik untuk anak hiperaktif kerana ia melibatkan banyak pergerakan dan tenaga.
Anak akan banyak bergerak dan menggunakan otot-ototnya. Ia membuatkan anak lebih fokus dan dapat menggunakan tenaga dengan maksimum. Sukan sebegini antara lain dapat latih anak tentang semangat berpasukan, kesukanan dan persaingan.
Aktiviti berlari juga boleh diamalkan jika tiada kesempatan atau peluang melakukan sukan luar. Anak juga lebih sihat dan ceria.
3. Muzik
Muzik merupakan salah satu cara yang bagus untuk relaks dan bertenang. Dengan mendengar muzik, kedua-dua otak kiri dan kanan digunakan secara aktif.
Justeru, otak menjadi lebih tenang dan menyebabkan anak boleh lakukan pelbagai tugasan dan menyimpan maklumat dalam otak dengan lebih efektif.
Sebaiknya anak diberi peluang untuk belajar alat muzik kerana ia akan memahirkan anak dalam kawalan diri. Jika anak terlibat dalam pasukan pancaragam atau koir, secara tak langsung belajar kerja berpasukan juga.
4. Berenang
Aktiviti berenang memerlukan banyak tenaga. Cuba dedahkan anak hiperaktif dengan sukan ini. Gerakan yang pelbagai dalam renang boleh bantu anak salurkan tenaganya ke tempat yang betul. Melalui aktiviti ini, anak juga dapat melatih disiplin diri.
5. Teater
Persembahan teater memerlukan banyak latihan, koordinasi, memori yang tajam, keyakinan di atas pentas dan kemahiran berkomunikasi. Juga mengasah bakat pengucapan awam. Anak hiperaktif boleh belajar sisi kreatif di dalam dirinya dan belajar mengikut arahan selain bekerja dalam satu pasukan.
6. Mendekati Alam Sekitar
Tanpa kita sedar alam sekitar mempunyai tarikannya tersendiri dalam mempengaruhi kelakuan anak. Sesekali dedahkan anak kepada aktiviti yang dekat dengan alam sekitar, anak pasti sukakannya!
Salurkan tenaga anak hiperaktif dengan cara bereksplorasi melalui trekking, hiking, memanjat batu, berdayung ataupun melihat semalu di halaman rumah. Aktiviti mencabar begini bantu mereka gunakan tenaga dengan optimum.
7. Permainan Berfikir
Permainan seperti Scrabble, catur, menyuai padan gambar antara permainan yang bagus untuk otak. Boleh cuba dedahkan anak dengan permainan berbentuk begini untuk latih mereka duduk di satu-satu tempat dan fokus.
Selain itu, permainan seperti susunan blok sehingga jadi satu objek atau menarik keluar blok daripada susunan blok-blok tinggi juga menarik untuk anak hiperaktif.
Kebaikan lain permainan sebegini adalah untuk membina keyakinan dan minat, selain meningkatkan daya tumpuan terhadap sesuatu.
No comments:
Post a Comment