Friday, March 31, 2017

Jemput-jemput bawang

Jemput-jemput bawang sahaja menu pagi ini.

Alhamdulillah.


Mudah, cepat dan sangat ringkas.

Resipi:-

Minyak masak
Tepung gandum 5-6 sudu besar.
Bawang diricih kasar.
Garam Kristal Masakan secukup rasa.

Cara membuatnya:
  1. Masukkan tepung gandum ke dalam mangkuk.
  2. Potongkan bawang besar yang diricih kasar.
  3. Letakkan garam kristal masakan secukup rasa.
  4. Bancuh dengan air. Bancuhan tepung adalah pekat.
  5. Panaskan minyak dan buat dalam bentuk jemput-jemput.
  6. Gorengkan sehingga kekuning-kuningan dan angkat.
  7. Sedia dihidangkan.
Menu menjelang closing!

Thursday, March 30, 2017

Terima kasih abang Ammar

Terima kasih abang Ammar. Gigih bantu ibu dalam berniaga. 



Putihkan kulit...

"Makan xxx anak dalam perut boleh jadi putih!"

Tergaru-garu kepala Kak Ida...

Kalaulah kulit ibunya macam Kak Ida yang gerhana bulan tak penuh, anak pula putih melepak melepuh macam kulit orang cina...

Rasa?

Takpelah adik, bukan kulit putih yang Kak Ida kejarkan, tetapi bayi lahir sihat dan sempurna.


Love,
Kak Ida

Sunday, March 19, 2017

Jenis-jenis ADHD

Terdapat tiga jenis ADHD yang berkait rapat dengan watak Winnie The Pooh (Disney)


Kurang Tumpuan (Inattentive)

  • Kurang fokus
  • Mudah lupa
  • Lambat bertindakbalas
  • Suka berkhayal
  • Tidak kemas
Winnie the Pooh ada minat yang sangat tinggi kepada madu (honey) dan dia akan mempunyai pelbagai idea dan cara untuk mendapatkan madu walaupun kadang-kala tindakannya membahayakan dirinya. Pooh juga agak cuai dan cemerkap.

Hiperaktif
  • Hiperaktif
  • Mudah resah dan gelisah
  • Impulsif
  • Kurang daya tumpuan
  • Sentiasa bertenaga
Tigger sentiasa kelihatan melompat dan meloncat dengan menggunakan ekornya. Tigger adalah karakter yang sentiasa suka bermain dan berseronok. Kadang kala Tigger dilihat sebagai kurang bertanggungjawab dan sangat terburu-buru.


Impulsif
  • Tidak sabar
  • Mudah gelisah
  • Terlebih fokus
  • Suka menyampuk
  • Bertindak tanpa berfikir kesannya
  • Kerap memberontak
Rabbit tidak pernah berehat dan sentiasa mahukan setiap benda dilakukan dengan sangat teratur. Rabbit juga cerewet dan suka memerintah.

Friday, March 17, 2017

Masalah pembelajaran

Empat masalah pembelajaran


Dyslexia
  • Masalah membaca
  • Penglihatan cermin/spiral/berterabur
Dyscalculia
  • Masalah mengira
  • Kesukaran memahami konsep nombor atau simbol matematik.
  • Kesukaran memahami jadual, operasi wang, waktu dan lain-lain.
Sebagai contoh,

1 + 1 = 2

Mereka yang mengalami isu ini akan melihat angka seperti ini.

1 + 1 = 11

Atau,

2439 + 185 + 798 = 3422

Tetapi mereka melihat nombor secara berterabur.

2493 + 851 + 789 = 4133

Dysgraphia
  • Masalah menulis
  • Tulisan yang sukar atau tidak boleh dibaca.
  • Menyebut perkataan dengan kuat bila menulis.
  • Masalah melukis bentuk.
Boleh dikesan apabila mereka tidak mampu menulis dengan baik di buku garis tiga.

Dispraxia
Masalah pembelajaran yang paling teruk.
  • Masalah kemahiran motor.
  • Kesukaran melibatkan pelbagai aspek sensori seperti fizikal, percakapan, memori dan fokus.
  • Pelat atau gagap.
  • Mudah tertekan dan berasa kecewa.

Lembu....?

Perkongsian cerita semalam dari Puan Jiett,

Ada seorang anak dari kecil suka melukis lembu.

Lembu sahaja. Apa-apa bentuk hasil yang keluar mesti lembu atau mirip kepada lembu.


Sampaikan kawan-kawan sekolah akan ejek dia lembu, "bodoh macam lembu..."

Suatu hari, dia bertanya satu soalan pada ibunya...
"Adakah dia bodoh macam lembu ibu?"

Boleh bayangkan betapa pedihnya, hancurnya sekeping hati seorang ibu bila seorang anak bertanyakan soalan seperti itu?

Satu hari, ibu dia ternampak iklan tentang "kursus penternakan lembu."

Ibu bertanyakan pada anak, mahu ke dia belajar tentang lembu?

Anaknya bersetuju. Mungkin kerana minat anak yang cukup mendalam terhadap lembu.

Jadi, ibunya membuat keputusan untuk memberhentikan anaknya bersekolah aliran perdana kepada sekolah kemahiran dengan mengambil jurusan penternakan lembu.

Alhamdulillah,

Sekarang.... beliau menjadi seorang penternak lembu yang sangat berjaya.

Lebih kaya daripada kawan-kawan yang sering mengejek dia dulu.

Jadi kepada ibu-ibu yang ada anak istimewa, kata Puan Jiett semalam, cungkil dan tengoklah bakat atau kelebihan apa yang ada pada anak.

Serlahkan potensi anak. Sokonglah dan dokonglah mereka. Kalau anak minat memasak, hantarlah ke kelas masakan. Gurukan anak dengan insan hebat. Minat rekaan fesyen, hantarkan mereka ke kelas jahitan.

Atau apa-apa kemahiran yang mereka suka.

Insya Allah mereka akan lebih hebat dengan cara mereka sendiri kerana daya pemikiran mereka tidak sama dengan yang normal.

ADHD

"ADHD is just another word for fun, exciting and adventurous".

ADHD atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder.


Antara tiga SIMPTOM UTAMA ADHD ialah:-
  • Tidak fokus
  • Impulsif
  • Hiperaktif
TIDAK FOKUS
  • Tidak mampu mendengar arahan dari segi ayat yang panjang.
  • Sukar memberi perhatian kepada butiran yang penting.
  • Cuai dan tidak kemas.
  • Selalu kelihatan mengelamun (Day dreaming).
IMPULSIF
  • Suka terburu-buru (tidak takut bahaya). Sebagai contoh, kalau hendak melintas jalan, mereka akan terus melintas tanpa melihat kiri atau kanan.
  • Sukar menunggu giliran.
  • Tidak sabar.
  • Selalu menyampuk dan memberi reaksi berlebihan.
HYPERAKTIF
  • Tidak mampu duduk diam.
  • Sukar melakukan perkara secara senyap.
  • Sentiasa bergerak.
  • Sangat aktif dan bertenaga.
Mereka yang ada ADHD sangat cenderung membuat keputusan secara YA atau TIDAK. Tiada keputusan yang berlandaskan sederhana (moderate).

Anak-anak yang ada ADHD bukan sekadar ADHD, tetapi...

Contoh,
"ADHD with mild autisme"
"ADHD with impulsif"
"ADHD with hyperaktif"

Jadi, setiap rawatan atau terapi juga kadang-kala berbeza antara satu sama lain.

Ciri-ciri Austism

"Always Unique Totally Interesting Sometimes Mysterious"

Austism

Anak-anak yang mempunyai ciri-ciri Austism boleh dipecahkan kepada tiga iaitu:-

Masalah Interaksi
  • Tidak mampu membuat hubungan dengan rakan sebaya.
  • Sukar menunjukkan emosi.
  • Sukar membuat "eye contact"
  • Tidak memahami nada suara atau intonasi yang berbeza.
  • Gemar bersendirian.
Pergerakan Berulang
  • Terlalu gemar mengikut rutin tertentu.
  • Sangat obses atau terlalu minat pada sesuatu.
  • Suka berpusing/mengibaskan jari/suka melihat objek yang berpusing/air menitik/bola melantun atau sebagainya.
  • Menyusun objek dalam aturan tertentu.
Masalah Komunikasi
  • Lewat bertutur/tidak mahu bercakap.
  • Komunikasi satu hala.
  • Kadangkala sekadar mengulang perkataan/nyanyian yang didengar tanpa memahami.
  • Kesukaran memberitahu apa yang dimahukan.
  • Hanya mendekati orang dewasa jika mahukan sesuatu dan kadangkala hanya menunjuk ke arah benda yang dikehendaki.

Bau masam yang dirindui

Alhamdulillah.

Wajib bau masam ini dulu... hihi


Assalammualaikum dan selamat pagi.

Hanya SATU

Ibubapa mana yang tidak mahukan anak yang sempurna.

Setiap kelahiran, ibubapa mesti membayangkan anak yang bakal dilahirkan comel, bijak, cantik, hensem, gebus, gebas, mata hijau...

Tetapi,

Bila anak dilahirkan...

Ia tidak seperti yang dibayangkan.

Cacat, bibir sumbing, kulit gelap, mata hitam...

Ya Allah,


(Pause),

Teringat bait-bait kata Kak Jiett,

Berjuta-juta sperma yang dilepaskan, hanya SATU sahaja yang berjaya menembusi ovum untuk disenyawakan.

Hanya SATU.

Bila sebut tentang SATU, itulah yang PALING terbaik yang Allah kurniakan pada seorang ibu dan ayah.

Terbaik untuk kita yang Allah sembunyikan hikmah pelangi.

Bukan untuk orang lain.

Untuk lihat betapa redhanya kita.

Untuk lihat betapa syukurnya kita.

Untuk lihat betapa amanahnya kita menjaga amanah Allah pada kita.

Jadi ibu-ibu, banggalah dengan anak yang dikurniakan oleh Allah pada kita. Percayalah, setiap anak itu ada kelebihan dan rezeki yang Allah telah beri dan susun untuk kita sebagai ibubapa "menumpang" rezeki anak.

It's Snow

Ibu kena berfikir dan berimaginasi di luar kotak saiz A0.

Aina: Ibu, it's snow.
Ibu: Ha?


Sambil ibu renung sehingga tembus.

Sunday, March 12, 2017

Ibu dan Ammar

Sudah lama sebenarnya Ammar tidak tidur di lengan Kak Ida semenjak adiknya Adilah lahir.

Seperti merajuk atau membawa diri pun ada juga. Banyak ke ayahnya... huhuhu

Alhamdulillah...


Hari ini, Ammar datang tidur berlengankan tangan Kak Ida.

Syahdu betul tengok.

Tidur ya Ammar. Ibu ada...

Saturday, March 11, 2017

Aktiviti Hari Ini

Alhamdulillah,

Hari ini Kak Ida berkesempatan untuk menghadiri Kursus Mengendalikan Anak-anak Berkeperluan Khas seperti ADHD, Austime dan masalah pembelajaran di Taman Sri Putri.

Sudah lama Kak Ida 'mengidam' untuk menghadiri kursus-kursus seperti ini kerana Kak Ida juga mempunyai anak yang bekeperluan khas.

Terima kasih kepada RANIA Kak Ida, Suziela Ismail yang sudi menemani Kak Ida. Banyak perkara-perkara baru, semangat baru yang dikongsikan dalam kursus hari ini.



Perkongsian ilmu tanpa batasan,
Ida Kamilia Mudzakir

Wednesday, March 8, 2017

RM10 yang beerti

Ketika hendak membayar duit ubat Aisyah, mata terpandang RM 10 dalam beg Kak Ida. Terus teringat kisah kelmarin.

Kelmarin Kak Ida ada temujanji di Klinik Pakar ENT, HSA.

Orang memang ramai. Jadi, sela waktu antara satu diagnose ke satu diagnose, Kak Ida terpaksa menunggu.


Sambil menanti untuk diagnose seterusnya, Kak Ida terserempak dengan sahabat Kak Ida. Membawa umminya untuk menerima rawatan kerana telinga beliau telah bernanah.

Kak Ida terus bangun untuk memberi peluang kepada ummi untuk duduk. Rupa-rupanya, di belakang Kak Ida ada satu kerusi yang kosong.

Tiba-tiba, Kak Ida rasa bahu dicuit.

Ummi mencuit Kak Ida rupanya, "Sakit apa nak?". Kak Ida pun bercerita serba-sedikit... hendak terangkan lebih lanjut pun, diagnose untuk Kak Ida masih belum selesai lagi. Hihi

Ummi bertanya lagi, anak berapa orang, tinggal dimana.. macam mana boleh kenal anak ummi...

Kemudian, selesai anaknya mengambil prekripsi ubat dan kad temujanji dari jururawat, anaknya meminta izin untuk beredar. Tiba-tiba, ummi mencuit bahu Kak Ida sekali lagi. Sambil bersalaman, Kak Ida terasa ummi ada tinggalkan sesuatu di tangan.

"Eh, ummi...?" Kak Ida terpinga-pinga.

"Ambil ya nak... lepaskan hajat ummi, Insya Allah... Allah akan lepaskan hajat kita pula. Ambil sahaja. Ada rezeki kita jumpa lagi ya nak...". Bisik ummi sambil mengangguk-angguk perlahan.

Allahu... selepas mereka beredar, Kak Ida memandang sekeping duit bernilai RM 10 di tangan Kak Ida.

Bukan kerana nilai RM 10 yang Kak Ida hendak sentuh, sebenarnya ketika berbual, Kak Ida terperasan semasa ummi sedang mengambil sesuatu dari walletnya, duit yang ada cuma sekeping merah dan sekeping duit oren sahaja.

Kak Ida letakkan diri sebagai penerima, RM 10 sendiri cukup besar nilainya jika kita sendiri tiada apa-apa.

Doakan ummi ya sahabat...

Apa pun hajat ummi, Kak Ida doakan ummi cepat sembuh, dipermudahkan segala urusan ummi, dilapangkan rezeki ummi dan Allah memanjangkan usia ummi.

Amin YRA.

Tuesday, March 7, 2017

Kelapa muda untuk Aisyah

Telefon mama untuk maklumkan Aisyah pula kena chicken pox selepas Aina.

"Cari air kelapa sekarang. Bagi Aisyah minum... biar chickex pox Aisyah cepat keluar!"

Badan yang agak lesu, cuba menghadam nak cari celah mana air kelapa yang berdekatan dengan rumah.


Selepas ke Poliklinik Kuek, Kak Ida ke Song Mart pula. Nak cari sayur untuk menu rebus-rebus sahaja malam ni.

Balik dari Song Mart Taman Pulai Perdana 2, eh.. ada kelapa muda. Sejujurnya, memang selama ini Kak Ida tidak pernah perasan ada warung yang menjual air kelapa muda. Kak Ida terus buat pusingan U dan parking betul-betul di warung ini.

Kak Ida tercari-cari penjual. Oh, ada di "belakang" rupa-rupanya. Membersihkan tebu dan pokok betik di laman belakang.

"Pakcik, (nada agak kuat), ada jual air kelapa?".

Agak perlahan pakcik itu ke depan.. "Ada-ada... nak bungkus ke minum?"

Err... Kak Ida menoleh ke kereta, "Aisyah, kita minum terus la ya, kita lepak-lepak sekejap".

Aisyah pun bersetuju. Matikan enjin kereta dan terus duduk.

Pakcik tu terus potong sebiji kelapa untuk Aisyah. Agak sukar dia hendak bergerak sebenarnya bila kak Ida tengok cara pakcik itu berjalan. Jadi, bergegas Kak Ida menyambut kelapa yang dipotong tadi.

"Pakcik, nak lagi sebiji ya. Untuk saya."

Dengar tak dengar, pakcik itu mengucapkan Alhamdulillah...

Sambil minum, Kak Ida bertanya berapa harga untuk dua biji kelapa. "7 ringgit sahaja nak.." terus ringan pula mulut ini mengorder lagi sebiji kelapa untuk dibawa balik.

Kemudian, baru tengok wallet, alamak... tak cukup pula duit. Kak Ida bertanyakan Aisyah kalau ada... Lurus Aisyah bercakap... kalau kat rumah adalah...

Sebenarnya, Allah nak "tunjukkan" sesuatu... Teringat, bila anak tidak sihat... cari seseorang untuk dibantu.

Tanpa berfikir panjang, Kak Ida terus menghulur duit.

"Maaf nak, pakcik takde duit nak pulangkan baki.. anaklah baru pelanggan pertama pakcik hari ini."

"Takpe pakcik, baki pakcik simpan, saya cuma mohon pakcik doakan anak saya (merujuk kepada Aisyah) semoga cepat sembuh ya pakcik. Mana tahu asbab kelapa muda yang pakcik jual, Aisyah kembali sihat."

Tiba-tiba, pakcik itu terus menangis. Panik Kak Ida dan Aisyah dibuatnya. Dicium-cium duit itu. Kuat tangan dia menggenggam duit. Allahu. Sebak Kak Ida tengok...

Kemudian, pakcik menyambung...

"Atuk doakan cucu atuk sihat ya. Kejap-kejap ya nak.. pakcik potongkan lagi buah kelapa untuk cucu... (sambil menolak-nolak kaki hendak ke stall kelapa) biar dia cepat elok. Belajar rajin-rajin ya nak..."

Kak Ida tolak dengan lembut. Cukup dengan yang ada ini... pakcik itu mengalah dan memandang semula duit pemberian Kak Ida tadi.

Aisyah terkedu. Perlahan Aisyah kata, "ramai ya ibu orang susah..."

Satu lipatan cerita dalam kehidupan Kak Ida. Susah berat dugaan untuk Kak Ida tanggung, berat lagi ujian dan dugaan orang lain.

Allah..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...