Wednesday, March 21, 2018

Tiga ciri kanak-kanak ADHD

Tiga ciri utama kanak-kanak yang mempunyai ADHD.


Hiperaktif

Kanak-kanak ADHD TIDAK semestinya hiperaktif. Mereka yang tidak hiperaktif ialah kanak-kanak ADHD jenis Inattentif. Manakala bagi kanak-kanak ADHD yang hiperaktif, mereka ini sangat cergas seolah-olah mereka mempunyai tenaga dua kali ganda dari yang lain. 

Mereka sering berjalan, berlari-lari, memanjat dan tidak boleh duduk diam. Walaupun terlibat dalam aktiviti senyap, mereka akan kelihatan resah sambil menggerakkan tangan dan menggoyangkan kaki. 

Ciri hiperaktif kanak-kanak ADHD perempuan tidak semestinya sama seperti kanak-kanak ADHD lelaki. Hiperaktif bagi kanak-kanak ADHD perempuan adalah lebih kepada percakapan. Mereka suka bercakap secara berlebihan atau sukar untuk berhenti bercakap. Mereka pandai bercerita dan pandai meniru gaya atau fesyen atau watak tertentu.

Tumpuan yang singkat 
Ini merupakan ciri utama kanak-kanak ADHD. Mereka tidak dapat memberi tumpuan yang lama semasa guru sedang mengajar dan juga semasa sesiapa sahaja sedang bercakap dengan mereka. 

Bagi kanak-kanak ADD atau ADHD jenis inattentif, mereka sering kelihatan tidak fokus, mudah hilang tumpuan dan selalu nampa mereka mengelamun atau berangan. Sama ada hiperaktif ataupun tidak, tumpuan yang dapat diberi oleh kanak-kanak ADHD biasanya sekitar 10 hingga 15 minit sahaja. 

Oleh sebab itu, mereka menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan dan menyiapkan sesuatu aktiviti atau tugasan mengikut arahan, peraturan dan tempoh masa yang telah ditetapkan. Mereka akan banyak melakukan kesilapan dan kesalahan dalam kerja sekolah. Mereka juga mudah lupa walaupun ia tidak munasabah berdasarkan IQ atau usia mereka. Malah tidak hairan jika mereka sering kehilangan alat tulis setiap kali ke sekolah.

Kurang sabar 
Ciri ini amat ketara bagi kanak-kanak ADHD jenis hiperaktif-impulsif dan jenis gabungan. Mereka sering kurang sabar dalam kehidupan seharian. 

Mereka tidak suka menunggu dan mahu semuanya cepat sahaja. Mereka juga cepat kecewa dan mudah beremosi atau tantrum. Sikap kurang sabar mereka berkait dengan masalah impulsiviti, iaitu kesukaran untuk berhenti berfikir sebelum bertindak. 

Tanda-tanda impulsiviti mereka termasuklah sukar mematuhi peraturan secara konsisten, melakukan perbuatan atau perkara yang tidak munasabah dan mengganggu serta mengusik kanak-kanak lain secara agresif atau secara tiba-tiba. 

Mereka selalunya pantas memberi jawapan sebelum soalan yang lengkap diajukan dan cenderung untuk mengganggu perbualan orang lain. Jika tidak memahami masalah mereka, kanak-kanak ini akan dianggap nakal dan biadap. Selain itu, masalah impulsiviti menyebabkan mereka mudah mendapat kemalangan dan kecederaan.

Semoga perkongsian ini bermanfaat. 

No comments:

Post a Comment

Hubungi Kami

Ida Kamilia binti Mudzakir
Facebook: www.facebook.com/ida.kamilia.mudzakir
Blog: www.idakamiliamudzakir.blogspot.my