Monday, May 16, 2022

Pay It Forward

Semua tempat penuh dan barang habis.

Baik Mr DIY, Eco, Daiso dan lain-lain. 

"Shopping" saat akhir untuk mencari hadiah Hari Guru. 

Samalah juga Kak Ida. Kah!

Petang tadi, ketika beratur panjang di kaunter pembayaran, sempatlah berbual dengan orang di belakang Kak Ida. Menghilangkan rasa menunggu sebenarnya.

"Banyaknya kak barang." tegur orang di belakang Kak Ida. 

"Biasalah dik, empat orang anak. Beginilah." ringkas jawapan yang diberi.

Tersengih dia mendengar jawapan Kak Ida.

"Saya tiga orang pun dah pening kak. Kak, boleh ke saya tengok barang apa yang akak beli? Kot ada boleh tambah-tambah." lurus betul permintaan dia.

"Boleh dik, ni... Kak Ida beli pin, sticker, biskut, kopi..." sambil tunjukkan barang yang ada di troli.

"Kopi kak?" 

"Haah, barang satu, kopi atau biskut. Boleh juga cikgu makan atau bancuh air di sekolah. Nak beli pen alatulis, memang confirm barang itu juga yang parents beli. Akak pun tak tahu nak beli apa sebenarnya." 

"Kopi tu kat bahagian mana kak?" 

"Itu, belah sana dik." sambil jari tunjukkan food area di sebelah sana.

"Haah eh kak, boleh juga idea tu. Saya ke sana kejaplah nak ambil kopi."

... dalam masa yang sama, Kak Ida menolak troli ke cashier.

"Ada ni aje yang tinggal kak. Bolehlah... buat tambah-tambah untuk cikgu." seronok betul dia.

"Kan..." sambut Kak Ida. Seronok walaupun sejujurnya, hadiah yang diberi pada cikgu tidak seberapa pun. Yang penting tanda ingatan anak-anak pada guru-gurunya.

Dah hampir sampai ke kaunter, baru ternampak sign "Cash Only" bertulisan tangan di cashier. Mesin debit/kredit rosak!  

Sudah! Mana nak cekau cash. Toleh belakang, kus semangat, bertambah ramai umat beratur untuk membayar barang.

Aduhai. Takkan nak letak balik barang ni.

"Kenapa kak?" agaknya dia nampak kekalutan muka Kak Ida.

"Cash only pula. Dalam tangan akak memang tak cukup ni." Habis Kak Ida menggeledah barang di dalam beg. Kotlah ada terselit-selit. 

"Berapa barang akak?"

"Ada dekat dua ratus juga ni. Allahu." berpeluh bila mengenangkan barang yang telah diambil. Nak kata frust pun boleh juga. Situ mana ada pula mesin ATM. Nak taknak memang kena keluar dari situ.

"Takpe kak, pakai duit saya. Saya ada cash ni kalau setakat dua ratus. Jap, saya tengok." sambil dia mula membuka wallet di tangan.

"Eh, janganlah.. ko pun kena bayar cash juga nanti ni dik."

"Cukup kak, jangan risau. Jap saya kira barang saya. Tapi rasa memang cukup duit ni." laju dia mengira barang yang ada di troli. Tinggal beberapa orang sahaja di depan kami sebelum giliran sampai.

Allahuakbar. Allah hadirkan orang yang langsung Kak Ida tidak kenal untuk membantu. 

"Meh no akaun ko dik. Kak Ida transfer sekarang."

Terus Kak Ida buka apps Maybank2u. Klik klik, alhamdulillah. Lega sangat perasaan itu.

Rasanya itu duit emergency yang diselitkan dalam wallet. Sebab memang berlipat tiga disorokkan di belakang kad.

Terima kasih Raja Zalilah. Nama yang tertera di dalam nombor akaun ini. Hanya Allah s.w.t yang dapat membalas sebaik-baik ganjaran di atas pertolongan itu tadi.

"Selamat Hari Raya Kak..." penutup kata sebelum kami berpisah arah.

Simpan sini sebagai kenangan. Ada rezeki, dapat kita berjumpa lagi. Insya Allah. 💙💙💙

No comments:

Post a Comment

Hubungi Kami

Ida Kamilia binti Mudzakir
Facebook: www.facebook.com/ida.kamilia.mudzakir
Blog: www.idakamiliamudzakir.blogspot.my